KUALA LUMPUR: Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan insiden letupan di tempat pemeriksaan zon keselamatan di Tha Phraya Sai di wilayah Narathiwat, Thailand pada 9.35 malam waktu tempatan Isnin (6 Mei).

"Setakat ini, dua rakyat Malaysia dilaporkan tercedera akibat insiden tersebut. Kedua-dua mangsa telah mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Naradhiwas Rajanagarindra dan dibenarkan keluar dari hospital pada 7 Mei," kata kementerian itu dalam satu kenyataan Selasa.

Wisma Putra juga menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas untuk berwaspada dan berhati-hati serta mengikuti perkembangan terkini dan nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di butiran berikut:

Alamat : No 4, Sukhum Road, Tambon Boryang Muang District Songkhla 90000 Thailand.

Nombor telefon : +(6674) 311062 / +(6674) 316 274 (waktu pejabat)

+(6693) 6570707 (selepas waktu pejabat)

E-mel : [email protected]



-- BERNAMA